21 Jan 2011

JUTAWAN GEDIK - SIRI 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Terima kasih diucapkan kerana melayari laman web rasmi 'Jutawan Gedik'


Buat pengetahuan semua, kisah 'Jutawan Gedik' ini adalah novel bersiri AinMaisarah yang dipaparkan khas dalam suratkhabar Berita Harian pada setiap hari Sabtu. Siri pertamanya sudahpun disiarkan pada 15 Januari 2011 yang lalu. 


Oleh kerana ramai yang mengadu tidak dapat mencari Berita Harian pada hari tersebut, maka pihak pengurusan AinMaisarah dan Berita Harian bersetuju untuk memaparkan siri pertama di dalam laman web ini. Namun, HANYA SIRI PERTAMA akan dipaparkan. Siri-siri seterusnya, sila dapatkan Berita Harian setiap hari Sabtu ya! =)

Kepada yang tertinggal membaca kisah permulaan The Wannababes terlibat dalam cabaran mendapatkan RM1 juta, semoga seronok membaca Siri 1 Jutawan Gedik, nukilan AinMaisarah. Selamat membaca!




JUTAWAN GEDIK (SIRI 1)
Girls! Ada berita hangat. Ada cerita sensasi!” Satu suara tidak cukup nafas sudah mendekati.
“Memang hangat sangat. Memang sensasi habis!” Satu suara lain menyokong dari belakang. Bagaikan gema bunyi yang terpantul dalam gua batu kapur yang berketul-ketul.
Perbualan lima gadis jadi terhenti. Suapan makanan yang diselang-seli turut terkaku sendiri. Fasharina Tan Sri Hisham, gadis yang paling menyerlah di meja itu sudah terangkat muka. Tanda berminat mendengar isi gosip terbaru yang dibawa oleh pemberi berita. “Apa yang sensasi sangat? Tahun baru begini, semua benda hanyalah rutin semata-mata.”
“Betul! Hari pertama persekolahan kita tahun ini seperti tahun-tahun lepas juga. Masuk kelas baru. Pilih meja kayu. Dapat senarai buku. Terima jadual waktu. Oh, nothing interesting at all!” Fazura, seorang lagi gadis yang menghuni meja itu turut menyampuk. Pada penghujung kata, dia siap menguap besar. Mempamerkan wajah bosan.
“Saya jamin. Berita kali ini memang sensasi. Berita ini sesuai sangat dengan kumpulan kita, kumpulan The Wannababes yang hebat sekali!” Sazzy bersinar matanya bak mentari. Dia sendiri mengurut dada berkali-kali seperti tidak dapat menanggung keterujaan hati.
Nana, pembawa berita kedua yang berdiri teguh di sisi Sazzy turut mengangguk. Tidak henti-henti hingga menyamai lazimnya si burung belatuk. “Sebenarnya kami baru balik dari bilik guru. Berita terkini yang kami bawa ini sangat eksklusif. Para pelajar belum ada yang tahu. Notis pengumuman pun belum ditampal di papan kenyataan seperti selalu.”
“This news is really hot from the oven!” Sazzy masih jual mahal mahu memberitahu gosip sebenar yang diketahui. Terus-terusan berteka-teki. Masih main tarik-tarik tali. Wajahnya mendongak tinggi. Berbangga kerana punya nilai gosip berharga setaraf rancangan hiburan Melodi.
Perbuatan Sazzy dan Nana yang sudah membuang masa rehat kumpulan The Wannababes selama lebih satu minit membuatkan Fasha membulatkan mata. Dia merenung dua ahlinya. “Hei… jangan buat kami tertunggu-tunggu! Beritahulah sekarang juga!”
Menerima jelingan teramat tajam daripada si ketua kumpulan, Sazzy akhirnya akur jua. Bercerita gaya minah kepoh yang sangat teruja. “Sebenarnya kami baru balik dari bilik guru. Terserempak dengan pengetua kita yang sedang mengiringi seorang guru baru. Guru lelaki! Hensem, tegap, kacak dan tinggi. Persis pelakon Remy Ishak!”
“Huh? Itu saja gosipnya? Ada guru lelaki baru di Sekolah Sri Bangsar yang kacak?” Shasha yang paling serius dalam kumpulan sudah berkerut kening. Kadangkala dia sendiri pening dengan kerenah ahli kumpulan The Wannababes.
“Itu bukan gosip utamanya. Itu cuma gosip sisipan sahaja. Alah… seperti suratkhabar Berita Harian juga. Ada akhbar utama. Ada akhbar sisipan.” Nana sempat lagi memberi contoh jenis-jenis gosip yang ada di muka bumi mengikut pengetahuannya.
“Okey… jadi apa gosip utamanya?” Fasha jelas sudah tegang muka.
“Gosip utamanya, kami terdengar apa yang dibincangkan oleh pengetua dan guru baru tersebut.” Sazzy kembali menyambung cerita gaya penglipurlara. Walaupun infonya sedikit, tangannya hebat terawang-awang ke udara. Over acting orang putih kata!
“Apa yang mereka bincangkan?” Linda, gadis paling manis dalam kumpulan The Wannababes turut mencelah. Sedari tadi menjadi pendengar setia, kini dia juga mahu tahu isi sebenar gosip yang dibawa oleh Nana dan Sazzy itu.
“Mereka bincangkan tentang penubuhan kelab baru. Penubuhan kelab yang diberi nama Kelab Jutawan Sri Bangsar.” Akhirnya! Nana mendedahkan juga gosip paling utama.
“Kelab Jutawan Sri Bangsar?” Fasha mengulang sebut nama kelab itu. Kepalanya ligat memproses fakta. Sambil mata-matanya terkelip-kelip memandang Sazzy dan Nana.
“Ya! Kelab Jutawan Sri Bangsar! Bunyinya sangat eksklusif. Saya rasa ia tentu ditubuhkan bagi mengumpulkan pelajar-pelajar bertaraf anak jutawan di sekolah kita!” Penerangan Sazzy membuatkan semua ahli The Wannababes bercahaya-cahaya wajah mereka.
Wow! Memang hebat betul nama kelab baru tersebut. Sesuai sangat dengan darjat kita sebagai kumpulan The Wannababes. Kumpulan paling popular dan paling kaya seluruh Sekolah Sri Bangsar!” Fazura yang selalunya sentiasa mengawal diri supaya kelihatan cool tidak terkira, akhirnya turut mengakui. Berita tentang kelab terbaru yang ditubuhkan di Sekolah Sri Bangsar itu memang ada nilai komersial. Memang sensasi dan terkini!
“Jika benarlah kelab ini akan ditubuhkan, kita mesti jadi orang pertama yang mendaftar. The Wannababes bakal jadi teraju utama kelab Jutawan Sri Bangsar. And Fashrina Tan Sri Hisham will have to be the president.” Belum sempat ada suara lain mencelah, Fazura sudah mengutarakan pendapatnya. Kali ini semua bersetuju. Semua sudah tidak sabar mahu menghadiri pertemuan pertama kelab baru itu.
@@@@@
Gosip dan perkhabaran yang dibawakan oleh Sazzy dan Nana dari bilik guru benar-benar menjadi realiti. Pada minggu kedua persekolahan, sudah ada notis iklan yang tertampal di papan kenyataan. Notis memberitahu, pertemuan khas akan diadakan bagi mengumpulkan pelajar-pelajar yang berminat menjadi ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar. Ianya bakal diadakan di bilik tayangan, berlokasi di bangunan pentadbiran.
Sejak itu, tujuh The Wannababes kecoh berbincang. Merencana misi. Tunggak utama kelab baru itu mesti menjadi milik mutlak The Wannababes.
“Ingat! Kita mesti angkat tangan paling laju sekali! Biar sepantas kilat. Biar secepat The Flash. Biar tiada yang sempat bertindak! Biar tiada yang terlawan!”
“Jangan beri peluang langsung kepada budak biasa-biasa yang tidak bergelar jutawan masuk dalam organisasi pemerintahan!”
“Bila kita berkuasa, senanglah kita tentukan halatuju kelab. Kita pastikan ianya kekal eksklusif, berprestij dan bergaya. Setiap masa dan ketika.”
“Nanti antara aktiviti berprestij yang kita boleh lakukan adalah melawat rumah-rumah jutawan lain seperti Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Ananda Krishnan dan Dato’ Nazir Razak. Bolehlah ambil contoh tauladan dan inspirasi citarasa rumah jutawan-jutawan terkemuka.”
“Tapi misi paling teratas dalam carta adalah kita perlu berkenalan dan bersosial dengan anak-anak jutawan yang lain. Kita aturkan jodoh kita. Biar dengan anak jutawan juga. Sama taraf dan sama kekayaan. Barulah hidup senang-lenang hingga tujuh keturunan!”
Itulah isi-isi perbincangan serius The Wannababes sepanjang hari. Ianya bagi mempersiapkan diri menghadiri mesyuarat terulung Kelab Jutawan Sri Bangsar yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi….
@@@@@
Bilik Tayangan, Sekolah Sri Bangsar.
Buat pertama kali dalam sejarah, The Wannababes menjadi pelajar paling awal yang duduk menunggu. Menjadi pelajar paling hadapan yang mengisi kerusi-kerusi berwarna biru. Mereka turut mempamerkan sikap kesopanan paling tinggi. Nilai kesusilaan paling jitu. Muka tersenyum menyenangkan. Wajah berkarisma bukan kepalang! Itu semua bagi memastikan guru baru itu dikaburi matanya. Moga-moga guru itu terus terpikat mahu memilih The Wannababes sebagai teraju utama.
Makin lama, bilik tayangan makin penuh. Ramai juga yang berminat memasuki Kelab Jutawan Sri Bangsar. The Wannababes pula bertindak sebagai pemerhati. Sambil berbisik bergosip sesama sendiri.
“Bilik tayangan hampir separuh penuh!” Sazzy berpusing ke kanan dan kiri. Jadi pelapor setia setiap masa dan ketika.
“Hish! Muka-muka pelajar biasa terlalu ramai. Mereka tidak sepatutnya ada di sini!” Dengan bibir mencebik, Linda merungut sendiri.
Girls, no worries! Nanti kita cantas sahaja nama-nama yang bukan anak jutawan.” Fazura begitu menyombong diri memberitahu perancangan masa hadapan.
“Pada saya, jika mahu lebih eksklusif… setiap ahli kelab perlu tunjukkan penyata kewangan ibubapa terlebih dahulu. Jika betul ada aset, nilai hartanah atau wang simpanan melebihi RM1 juta, barulah boleh masuk Kelab Jutawan Sri Bangsar. Barulah betul-betul hanya anak-anak jutawan yang menyertai kelab ini!” Nana yang sememangnya anak kontraktor kaya itu sudah meletakkan syarat yang bukan-bukan. Mentang-mentanglah dirinya punya semua kemewahan harta benda yang disenaraikan!
Sebaik jam menunjukkan tepat pukul 2.00 petang, seorang lelaki berbadan tegap memunculkan diri. Dengan kemeja ungu dan tali leher merah jambu, dia tersenyum sebaik masuk bilik tayangan. Bibirnya menutur ayat pertama. “Assalamualaikum semua.”
Semua pelajar secara automatik menjawab salam. Pada masa yang sama… mata-mata yang ada memerhati atas dan bawah. Penampilan guru baru itu dinilai. Memang benarlah perkhabaran yang dibawa oleh Sazzy dan Nana. Guru itu muda, kacak dan bergaya. Memilih kemeja Paul Smith. Memakai seluar Dockers. Tali lehernya juga bercorak abstrak moden. Dia tidak membawa beg seperti lazimnya guru-guru lain. Sungguh berbeza apabila guru itu membawa organizer hitam dan sebuah Ipad pada genggaman tangan! Wah! Memang bergaya dan technology savvy sungguh orangnya!
“Nama saya Syed Putra bin Syed Hatta. Boleh panggil saya, Cikgu Putra.”
Ketika nama itu disebut, semua pelajar perempuan berbisik sesama sendiri. Tidak ketinggalan adalah kumpulan The Wannababes. Mata-mata mereka sudah merenung tidak berkelip.
“Cikgu Putra inilah jodoh saya!” Fazura yang paling gatal, laju sahaja buat pengumuman berbentuk bisikan pada The Wannababes lain. Dia mahu memastikan guru baru itu jadi miliknya!
“Cikgu Putra ini rasanya memang jutawan sebenar! Bajunya berjenama. Alat bantuan mengajarnya Ipad. Nama pun bermula dengan pangkal ‘Syed’. Mungkin ada bau-bau bacang dengan hartawan terkemuka Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary!” Diana turut berbisik teruja. Sungguh seronok masuk kelab jutawan ini! Guru penasihatnya kacak bergaya! Boleh cuci-cuci mata.  Memang tidak rugi! Memang berbaloi-baloi!
Bisikan The Wannababes mereda apabila guru itu kembali bersuara. “Sebenarnya saya baru memulakan tugas di sini. Ini sekolah pertama tempat saya bertugas setelah tamat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UiTM.” Guru itu memperkenalkan diri dengan senyuman di bibir. “Di sekolah ini, saya mengajar subjek Perdagangan. Saya juga turut diberi tanggungjawab memegang Kelab Usahawan Sri Bangsar yang guru penasihatnya sudahpun berpindah. Namun, saya rasa saya mahu tukar nama kelab yang terlalu biasa-biasa tiada perisa. Saya mahu mulakan sesuatu yang baru. Sesuatu yang lebih memberi impak dan gempak. Itu sebabnya kita lakukan penjenamaan semula. Nama Kelab Usahawan Sri Bangsar ditukar kepada Kelab Jutawan Sri Bangsar. Misi saya amat jelas. Saya mahu mendidik pelajar Sri Bangsar jadi usahawan yang jutawan. Kita akan belajar berniaga. Kita akan belajar jadi usahawan berjaya. Kita akan kumpul keuntungan bernilai RM1 juta. Itulah misi kelab kita!”
Sebaik mendengar penerangan guru muda itu, The Wannababes jadi ternganga. Sungguh tidak disangka, buah cempedak menjadi nangka! Mereka tersalah menyertai kelab rupanya! Ini kelab usahawan yang perlu bersusah-payah berniaga. Bukan kelab yang ahlinya jutawan berprestij dan hebat tidak terkira!
Tanpa disangka… baru separuh penerangan guru muda itu, Fasharina binti Tan Sri Hisham sudah bangun dengan laju. Wajahnya sombong. Bibirnya memuncung. Dengan berani dia bersuara dan mengangkat tangan tanda mahu perhatian semua.
I’m sorry. Saya tersalah masuk kelab rupanya. Saya ingatkan ini betul-betul Kelab Jutawan Sri Bangsar. Rupanya ini kelab usahawan. Kelab yang perlu berniaga. Kelab yang tidak ada class langsung di mata saya!”
Kata-kata Fasha yang sangat berani membuatkan satu bilik tayangan jadi senyap sunyi. Senyuman guru baru bernama Cikgu Putra juga mengendur. Matanya tertacap tajam. Merenung Fasha sambil bertanya, “Awak sudah bertaraf jutawan?”
“Ya! Saya memang anak jutawan. Saya Fasharina, anak Tan Sri Hisham. Saya tidak perlu berniaga untuk kaya. Saya tidak mahu buang masa sertai kelab sebegini yang tidak bawa sebarang faedah pada diri.” Kata-kata Fasha betul-betul cari nahas kerana guru baru itu kini tidak lagi tersenyum. Guru baru itu memandang Fasha dengan muka merah, wajah menyinga dan sinar mata paling berbahaya….
... bersambung di dalam siri dua 'Jutawan Gedik' yang boleh dibaca di suratkhabar Berita Harian. Mesti baca sambungannya dalam Berita Harian, hari Sabtu, 22 Januari 2011.

21 ulasan:

  1. Kak Ain, kalau kat sini ada yang episod 1 je, lepastu blog ni untuk apa? hehe. :)
    but seriously, saya suka gila jutawan gedik ni. baca sinopsis pun dah excited. weweweee. kak ain the best! i love you kak ain!

    MY BLOG

    BalasPadam
  2. Salam Mimi,

    Blog ini akan memaparkan pelbagai aktiviti pertandingan dan peraduan yang berkaitan dengan novel bersiri Jutawan Gedik.

    Dapatkan siri 2 esok.

    BalasPadam
  3. k.ain,mak saya x boleh beli BH jadi camne saya nak baca siri yg ke2??=(

    BalasPadam
  4. Terima Kasih Kak Ain sebab paparkan episod 1.
    Fiezah lupa nak beli hari tu, hehe...
    Tapi Alhamdulillah, BH hari ni Fiezah beli,
    jadi dapat baca episod 2. Tak akan lepaskan peluang untuk beli BH setiap hari sabtu =)

    BalasPadam
  5. Bestnya siri terbaru kak ain,JUTAWAN GEDIK!
    ^_^

    BalasPadam
  6. assalamualaikum..kak ain.........best betul citer kak ain tuh.....saye siap gunting dan masukkan dlm file istimewa lagi........saye juge dah pesan kat mak saye supaye..simpan BH ari sabtu kalau waktuh saye duk asrama....citer tuh memang so..syok...

    BalasPadam
  7. saya kumpulkan dan letakkan dalam satu file khas , best cite tu

    BalasPadam
  8. kak ain mak saya slalu bawak blik kosmo! jeww ...
    BH mak saya x beli cam ne nak tgok yg seterusnyee.
    sedehh laaa .. :(

    BalasPadam
  9. Assalamualaikum kak ain,
    saya Sarah,saya dah lame bukak blog kak ain so saya tak tahula ada cerita baru.Saya lagi sedih bila kak ain buat siri 1 je.....

    Saya tak bace yang lain.....
    esok saya nak beli tapi saya masih kecewa.

    Saya nak bagi cadangan....

    cerita kak ain kluar hari sabtu je so nanti ada yang tak beli atau tak bace so saya cadangkan hari ahad tu kak ain buat apa yang dalam surat khabr hri sbt tu.....

    Saya btul-btul kecewa kak ain....
    Saya btul-btul suka bace bku kak ain....
    Saya tak nak terlpas bace bku kak ain.....

    Pliz!!!terima cadangan saya!!!

    BalasPadam
  10. btol ckap sarah tu...
    saye terima cadangan awak sarah .. kak ain tolong terima cdangan kmi nii..
    :'(

    BalasPadam
  11. lOve kak ain maisarah...
    effa bce sume bku ainmaisarah
    aku mahu popular,aku mahu buli,impiana,aku mahu teman tapi mesra dll..

    BalasPadam
  12. Please kak ain .. buat la semua siri ..
    pliz kak ainn ... :'(

    BalasPadam
  13. Knape kak ain x blas komen kami semua ?
    Please kak ainnn :(

    BalasPadam
  14. kak ain kenapa tak letak semua siri jutawan gedik ?? sedih lah cam ni .. saya lebih suka tengok di laman web .. bolehlah ... bolehlah ... :'( ..

    BalasPadam
  15. bersyukurlah kita
    Kak Ain minta izin ambil gambar Aku Mahu Ke New York , letak dalam blog . Terima kasih
    ni .
    URL blog saya adylahmsdparis.blogspot.com

    BalasPadam
  16. Kak Ain hanya balas komen Mimi sahaja...tidak adil betul..tapi saya x nak kecewa kan kak Ain sbb saya peminat kak Ain.nak tahu kenapa saya peminat kak Ain....sbb semua novel kak Ain terutamanya "AKU MAHU JADI THE WANNABABES"best gila.Sebenarnya saya pun tulis novel bertajuk"AKU MAHU JADI THE DIAMOND STYLE".Sebenarnya THE DIAMOND SYLE ni pun kumpulan hangat dan popular dan terutamanya gedik;macam THE WANNABABES.OK sampai sini jela saya cakap novel saya.
    Sekian,
    Terima kasih


    Salam Sayang,
    Hannah Chloe Batrisyia BT. Hasfazaimi


    Saya sekolah di,
    SKPP 11(2)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yeke awak tulis novel....πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘hebat la..πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘πŸ‘tepuk tanganπŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ˜ŠπŸ‘

      Padam
    2. Terima kasih...(tunduk)😁😁

      Padam